Jul 24, 2020 - FASWan Zack Haikal, pemain sayap Selangor telah kembali menyertai latihan seperti biasa bersama pasukan sejak SOP Fasa 1 & 2 dijalankan bulan lepas.
Menurut Helber Richard, ahli fisioterapi pasukan utama Selangor, Wan Zack Haikal telah menunjukkan tanda-tanda positif sepanjang proses pemulihannya.
“Saya mula membantu Wan Zack Haikal dua bulan sebelum beliau dapat kembali beraksi bersama pasukan seperti biasa. Tidak dinafikan, ia adalah sukar untuk kita dapatkan semula rentak seseorang pemain setelah mengalami kecederaan, namun beliau telah menjalani proses pemulihan dengan sangat konsisten,” kata Helber.
Tambah Helber, FA Selangor komited dalam memastikan Wan Zack kembali ke puncak prestasinya dengan memberi peluang kepada beliau untuk menjalani program pemulihan tambahan.
“Kami telah menghantar beberapa program bagi membantu beliau seperti program pengukuhan dan pengaktifan juga membantunya menyelesaikan kesemua program yang telah diberikan bagi mempercepatkan proses pemulihan,” terang Helber.
Wan Zack kembali mengalami kecederaan sewaktu beraksi pada separuh masa kedua semasa pra musim kejohanan Asia Challenge Cup 2020 menentang Bangkok United di Stadium Shah Alam, Januari tahun ini.
Kami di FA Selangor mendoakan agar Wan Zack Haikal dapat meneruskan latihan dengan cergas dan dapat beraksi di Liga Malaysia yang dijadualkan bersambung 26 Ogos 2020.